Syarikat pembinaan kini boleh menguruskan pembayaran gaji pekerja mereka secara terus ke Kad Hijau CIDB dan aplikasi dompet mudah alih Construx yang dibangunkan khas.
PETALING JAYA: Syarikat fintech tempatan, Bayo Pay (M) Sdn. Bhd. telah membangunkan platform pembayaran gaji digital yang boleh memanfaatkan semua kontraktor dan pekerja binaan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Platform pembayaran gaji digital iaitu Construx, bakal digunakan oleh semua kontraktor dan pekerjaan binaan berdaftar dengan CIDB secara percuma.
Menurut Bayo Pay, melalui Construx, syarikat-syarikat pembinaan kini boleh menguruskan pembayaran gaji pekerja mereka secara terus ke Kad Hijau CIDB dan aplikasi dompet mudah alih Construx yang dibangunkan khas untuk semua kontraktor dan pekerja binaan berdaftar.
Jelasnya, Kad Hijau CIDB pintar dwi-fungsi (kad pengenalan diri dan pendepositan gaji dengan label kad prabayar Mastercard), boleh dihubungkan kepada Construx Wallet, aplikasi dompet mudah alih yang boleh dimuatkan dengan nilai maksimum RM10,000.
Katanya, aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
“Dengan Kad Hijau CIDB dan aplikasi dompet mudah alih Construx Wallet, pekerja binaan berdaftar boleh membuat pelbagai pembayaran bil dan pembelian secara dalam talian serta pembelian tanpa tunai di mana–mana premis perniagaan yang menerima Mastercard,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas pelancaran platform itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ciri tambahan yang diintegrasikan dengan Kad Hijau CIDB adalah tepat pada masanya seiring adaptasi norma baharu urus niaga tanpa tunai.
Katanya, inisiatif itu juga selaras dengan hasrat kerajaan menuju ke arah transaksi tanpa tunai menjelang 2022 di bawah rangka tindakan MyDIGITAL.
“Secara keseluruhan, solusi Construx bukan sahaja memberi kemudahan dan mengurangkan kos pengendalian tunai tetapi juga membantu mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan dalam transaksi,” katanya dalam kenyataan.
Sehingga kini, lebih 600,000 Kad Hijau CIDB telah diedarkan kepada pekerja binaan berdaftar di seluruh negara dan jumlah itu dijangka mencapai satu juta, pasca wabak Covid-19.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid pula berkata, pelancaran Construx berjaya menangani cabaran yang dihadapi syarikat pembinaan yang perlu membayar gaji pekerja secara tunai kerana kebanyakan pekerja binaan warga asing tidak dapat membuka akaun bank.
“Selain itu, platform ini juga memberi kemudahan kepada mereka di kawasan terpencil yang mempunyai akses kemudahan perbankan yang terhad,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, Aznul Abdullah berkata, matlamat syarikat adalah untuk memudahkan urusan kesemua pemegang taruh dan pekerja binaan melalui penggunaan penyelesaian Construx.
“Sebagai rakan digital eksklusif CIDB, kami juga berhasrat untuk mempercepatkan transformasi digital industri pembinaan melalui pengenalan nilai tambah perkhidmatan secara berterusan terutamanya dari aspek pembayaran digital,” katanya.
Selain ciri pembayaran yang diperkenalkan, fungsi baharu aplikasi dompet mudah alih Construx termasuk CIDB E-ID, fungsi merekodkan kehadiran secara digital di tapak binaan, latihan dalam talian dan lapran insiden dalam talian bagi sebarang insiden yang mungkin berlaku di tapak binaan. – UTUSAN
Source : Utusan Malaysia