Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, sistem baharu itu akan digunakan semua kontraktor dan pekerja pembinaan yang telah mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) secara percuma.
Melalui platform itu, syarikat pembinaan kini boleh menguruskan pembayaran gaji pekerja mereka secara terus ke Kad Pendaftaran Personel Pembinaan CIDB (Kad Hijau CIDB) dan aplikasi dompet mudah alih Construx.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelancaran ciri tambahan yang diintegrasikan dengan Kad Hijau CIDB itu adalah tepat pada masanya.
“Ia juga seiring dengan adaptasi norma baharu urusniaga tanpa tunai dan selaras hasrat kerajaan menuju ke arah transaksi tanpa tunai menjelang 2022 di bawah rangka tindakan MyDIGITAL yang telah dilancarkan baru-baru ini.
“Secara keseluruhan, solusi Construx bukan sahaja memberi kemudahan dan mengurangkan kos pengendalian tunai tetapi juga membantu mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan dalam transaksi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, Construx berjaya menangani cabaran dihadapi syarikat pembinaan yang perlu membayar gaji pekerja binaan secara tunai.
“Kebanyakan pekerja dalam sektor pembinaan adalah warga asing dan mereka tidak dapat membuka akaun bank.
“Selain itu, platform ini juga memberi kemudahan kepada mereka di kawasan terpencil yang mempunyai akses kemudahan perbankan yang terhad.
“Sektor digital adalah pemacu baru pertumbuhan ekonomi Malaysia dan CIDB teruja dalam melaksanakan rancangan transformasi digital ini bersama-sama Bayo Pay,” kata Ahmad Asri.
Menurutnya, platform tersebut adalah sebahagian daripada solusi ditawarkan melalui Program Penambahbaikan Kad Hijau CIDB.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, Aznul Abdullah berkata, fungsi baharu aplikasi Construx termasuk CIDB E-ID turut merekodkan kehadiran secara digital, latihan dalam talian dan laporan insiden secara dalam talian.
“Pemegang Kad Hijau CIDB juga dapat membuat pengeluaran wang tunai di mana-mana mesin ATM seluruh dunia yang menerima Mastercard.
“Bagi yang tidak mempunyai akses ke dompet mudah alih Construx, mereka boleh melayari Portal Construx, secara atas talian untuk perincian baki akaun,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, layari https://cidb.bayo.my.
Source : Astro Awani